Sumber: utusan online
Oleh SAODAH ABD. RAHMAN
Ideologi komunis hapus fitrah manusia
SISTEM komunis yang diamalkan oleh negara-negara komunis sama ada di
Eropah atau Asia jelas menunjukkan sistem tersebut gagal dan semakin hari kian hilang pengaruhnya. Umat Islam diharamkan daripada
menganuti ideologi komunis kerana ia bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.
Umat Islam yang menganut ideologi komunis dianggap sebagai orang yang menghancurkan agama Islam. Semua negara
Islam yang diperintah oleh sistem komunis adalah mundur dan berada dalam sistem pemerintahan diktator.
Masyarakat Islam tidak dibenarkan melakukan ibadah dan masjid-masjid ditutup atau dijadikan sebagai muzium
dan seumpamanya.
Pengaruh ideologi komunis yang berteraskan kepada sistem diktator dan konsep perkongsian kekayaan negara untuk
semua rakyat gagal mempengaruhi pemikiran masyarakat dunia. Ini jelas kelihatan pada akhir tahun 1980-an wujud pergerakan
revolusi secara besar-besaran menentang sistem pemerintahan komunis di negara-negara Eropah yang dikuasai oleh Soviet Union,
Eropah Tengah dan Eropah Timur.
Sistem komunis yang tidak berteraskan kepada fitrah ciptaan manusia menghalang rakyatnya daripada berinteraksi
dengan dunia luar.
Masyarakat Islam dalam negara komunis disiksa dan dibunuh jika mereka melakukan ibadah dan menyembah Allah.
Ejen dan perisik komunis sentiasa memantau kegiatan masyarakat Islam sehingga mereka berada dalam keadaan ketakutan.
Hasil daripada sistem komunis menguasai negara-negara Islam melebihi empat puluh tahun maka generasi muda
Islam yang dilahirkan dalam era pemerintahan komunis tidak mengenali agama Islam. Corak kehidupan mereka bertentangan dengan
akidah, syariah dan akhlak Islam.
Konsep perkongsian hidup dan perkongsian kekayaan dalam corak sistem komunis tidak memberi sebarang faedah
kepada rakyat sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang. Tidak ada konsep kebebasan dalam sistem pemerintahan komunis.
Sistem komunis bertentangan dengan naluri dan fitrah manusia. Manusia dianugerahkan oleh Allah keinginan untuk
memiliki sesuatu berdasarkan daya dan usaha diri sendiri. Jika mereka tekun bekerja maka hasilnya adalah lebih dan berganda.
Ini menggalakkan seseorang supaya tekun dan gigih untuk menjadi orang kaya dan mewah.
Setiap individu berlumba-lumba untuk memiliki sesuatu tanpa mengira masa dan jenis pekerjaan. Islam memperakui
hak milik harta benda individu. Sesiapa yang tekun bekerja maka dia berjaya dan kaya. Sedangkan sistem komunis menghapuskan
hak milik individu.
Sistem pemerintahan komunis mempunyai persamaan dengan sistem pemerintahan feudal dalam perkara berkaitan
dengan dengan hak milik persendirian. Ketika sistem pemerintahan feudal, semua harta dan kekayaan negara dimiliki oleh golongan
bangsawan dan mereka dianggap sebagai simbol kekuasaan dan kekayaan.
Istana-istana mereka dikelilingi oleh tembok-tembok yang tinggi dan rakyat diibaratkan sebagai hamba kepada
golongan bangsawan.
Sistem komunis lebih teruk jika dibandingkan dengan sistem feudal. Sistem komunis menghapuskan identiti agama
dan menghalang manusia daripada menyembah Allah. Sedangkan masyarakat beragama dalam sistem pemerintahan feudal dibenarkan
untuk mengamalkan ibadah dan bebas menentukan hak peribadi dan diberi hak memiliki harta secara terbatas.
Setiap sistem pemerintahan yang berdasarkan konsep diktator dan kebebasan secara terbatas akan menghasilkan
masyarakat yang kurang berwawasan. Pemerintahan komunis membendung rakyatnya daripada bergaul dengan warga asing kerana khuatir
mereka akan menentang sistem pemerintahan komunis.
Hasil daripada sistem pemerintahan yang terlalu mengongkong rakyat, menafikan hak peribadi individu secara
bebas, dan terlalu ghairah membangkitkan semangat kekayaan negara untuk rakyat dengan menggunakan pendekatan yang keras dan
kejam maka rakyat menjadi bosan dan hilang semangat untuk memajukan negara.
Kehidupan mereka diibaratkan seperti kais pagi makan pagi kerana jika tekun bekerja tidak kesemua hasil yang
dimiliki itu menjadi hak milik mereka kerana sebahagian besar menjadi hak milik negara.
Berdasarkan sistem pemerintahan begini maka setiap negara yang diperintah oleh sistem komunis menghadapi masalah
kemiskinan dan kemunduran.
Kemiskinan dan tekanan hidup yang dihadapi oleh masyarakat Islam di bawah sistem pemerintahan komunis perlu
dijadikan panduan kepada masyarakat Islam dalam negara ini bahawa ideologi dan sistem komunis tidak akan mampu membentuk sistem
kemasyarakatan yang kukuh dan memberi kekayaan kepada masyarakat .
Kesemua negara yang diperintah oleh komunis adalah miskin dan mundur.
Sistem komunis menjurus manusia menjadi patung tidak bernyawa. Oleh itu tentanglah ideologi komunis supaya
umat Islam lebih maju, berwawasan dan identiti mereka tidak terhapus.